Kalori merupakan satu unit tenaga dan kita boleh mengaitkan kalori dengan makanan tetapi ia juga berkait dengan apa saja yang mengandungi tenaga, misalnya 4 liter petrol mengandungi kira-kira 31,000,000 kalori.
Secara spesifik, kalori merupakan kandungan tenaga atau haba yang diperlukan untuk meningkatkan suhu satu gram air sebanyak satu darjah celcius(C).
Ramai orang berfikir kalori hanya berkaitan dengan makanan misalnya satu tin minuman berkarbonat mengandungi 200 kalori, sebenarnya kalori dalam makanan adalah kilokalori (1000 kalori = 1 kilokalori).
Satu kalori dalam makanan mengandungi 4184 J. Oleh itu satu tin minuman berkarbonat mengandungi 200 kalori makanan atau 200,000 kalori atau 200 kilokalori.
Ini juga sama semasa bersenam dimana jadual kecergasan mengatakan anda membakar 100 cal setiap kilometer berjalan bermakna 100 kcal.
Terdapat 3 kelas makanan utama dalam makanan kita. Mereka ialah karbohidrat, lemak dan protein. Ketiga-tiganya mempunyai “nilai kalori”(kandungan tenaga) tertentu seperti jadual berikut.
KELAS MAKANAN | NILAI KALORI
(kcal) | SUMBER |
---|---|---|
Karbohidrat | 4 | nasi |
Lemak | 9 | minyak masak |
protein | 4 | ikan dan daging |
Setiap individu memerlukan kalori yang berbeza. Ini bergantung kepada jantina, saiz badan, umur, aktiviti dan iklim. Golongan lelaki memerlukan lebih kalori kerana mereka lebih aktif. Saiz badan yang besar juga memerlukan kalori yang tinggi kerana ia mengandungi sel yang lebih banyak. Golongan kanak-kanak dan remaja yang sedang tumbuh pesat juga memerlukan lebih kalori kerana metabolisme (keperluan tenaga asas) mereka tinggi. Pekerja atau ahli sukan memerlukan kalori tinggi untuk menampung aktiviti yang cergas. Jika kita tinggal di tempat yang sejuk, kita juga memerlukan kalori yang lebih. Ini perlu untuk menggantikan haba yang hilang.
Apabila seseorang mengambil kalori yang tinggi atau terlampau rendah, maka berlakulah masalah kesihatan. Jadual berikut menyenaraikan beberapa contoh masalah kesihatan itu.
MASALAH KESIHATAN | PUNCA | GEJALA | CARA MENCEGAH | CARA MERAWAT |
---|---|---|---|---|
Malnutrisi | Kekurangan kalori | Sangat kurus dan tidak bertenaga | Makan makanan seimbang dan mencukupi | Memberi zat tambahan |
Anoreksia | Tabiat tidak mahu makan kerana ingin menguruskan badan | Terlalu kurus | Pendidikan | Kaunseling |
Kegendutan | Pengambilan kalori berlebihan | Kelihatan terlalu gemuk, pengumpulan lemak di bawah kulit | Mengawal pengambilan makanan | Bersenam atau mengambil ubat dari doktor |
Penyakit Jantung dan Tekanan Darah Tinggi | Makan makanan berlemak berlebihan | Serangan penyakit jantung dan cepat letih apabila melakukan aktiviti fizikal | Mengurangkan makanan berlemak | Pembedahan dan pengambilan ubat |
Orang dewasa perlu menentukan pengambilan dan penggunaan tenaga yang seimbang untuk mengawal dan menetapkan berat badan. Sekiranya kita mengambil lebih kalori dari yang diperlukan, badan akan menyimpan lebihan kalori tersebut sebagai lemak di dalam hati dan di bawah kulit serta dalam bentuk glikogen di otot-otot.
Lemak simpanan ini akan digunakan jika lapar berlaku untuk memberi tenaga. Bagi setiap 3,500 kalori yang disimpan, berat badan akan naik lebih kurang 1 lb(450 gram). Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu mengguna lebih tenaga dari yang dibekal, berat badan boleh dikurangkan. Walau bagaimana pun, bilangan kalori yang perlu bagi mengekalkan berat badan bergantung kepada umur, saiz, cara hidup (terutama senaman dll), komposisi badan dan keturunan.